Pages


 

Friday, August 20, 2010

Anak "tidak sah taraf" dan anak "buangan" semakin meningkat

0 comments

Oleh : DR AMINUDIN MANSOR


Siapakah yang harus dipersalahkan apabila peningkatan anak luar nikah di negara ini semakin membimbangkan? Adakah salah ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak dengan iman, amal dan takwa? Jawapannya adalah terletak di atas bahu kita semua terutamanya umat Islam dan kepimpinannya.

Menurut perangkaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terdapat 81,000 anak luar nikah berdaftar ketika ini dan perkembangan tersebut tentunya menakutkan dan membimbangkan. Anak luar nikah yang didaftar pada tahun 2007 adalah seramai 16,100, pada tahun 2008 seramai 16,541 dan pada 2009 seramai 17,303. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mencatatkan dalam tempoh lima tahun sehingga 2009, ialah 74,723 pendaftaran anak luar nikah membabitkan orang Melayu/Islam.

Angka-angka ini bukan lagi khayalan, tetapi kenyataan yang harus dihadapi dan disedari oleh semua umat Islam. Semua pihak perlu insaf dan memberi tumpuan kepada didikan agama untuk laksanakan usaha mengukuhkan jati diri, iman, akhlak, adab dan menegakkan amar makruf dan nahi mungkar.

Ingatlah, manusia terutama umat Islam akan diminta bertanggungjawab oleh Allah atas segala perbuatannya. Anak tidak sah taraf adalah disebabkan kepincangan hidup, kebebasan yang melampau, dan tiada asas yang kukuh daripada segi tauhid, ibadah, iman dan akhlak.

Masalah yang dihadapi apabila anak tidak sah taraf yang meningkat adalah rosak jurai keturunan, nasab dan pertalian darah. Anak-anak ini akan menghadapi masalah dalam hidup apabila tiada ibu bapa yang sah dan tidak dapat menuntut harta kerana tiada bapa yang sah.

Pendidikan iman mestilah ditekankan dengan lebih berkesan oleh ibu bapa, diri sendiri, institusi masjid, sekolah pondok, madrasah, sekolah agama, setiap lapisan masyarakat dan juga pemerintah. Pendidikan mestilah menekankan pengajaran berterusan bagi manusia agar dapat membentuk keimanan yang sempurna.

Pelbagai program keagamaan seperti ceramah meningkatkan kesedaran, kefahaman agama, yang menekankan pendidikan keimanan, tauhid, ibadah, akhlak dan budi pekerti mestilah difokuskan kepada golongan remaja dan generasi muda. Usaha ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala sosial dan pergaulan bebas yang melampau.

Ingatlah kata-kata, anda mendidik anak hanya sehingga umur 10 tahun, selepas itu anda hanya mempengaruhinya. Anak-anak adalah sumber kehidupan yang paling bahagia. Mereka selamanya menerangi rumah tangga. Mereka tidak pernah sirna cahayanya. Oleh itu, didiklah mereka mengikut zamannya dengan iman dan takwa.

Antara beberapa tanda dunia akhir zaman adalah gejala sosial yang dahsyat, ramainya bilangan anak luar nikah. Ingatlah, kalau sudah terlalu ramai bilangan anak-anak zina atau luar nikah ditakuti akan mendapat azab dan malapetaka yang bermacam-macam seperti pembuangan bayi dan pembunuhan serta malapetaka yang lain.

Perkahwinan yang sah akan melahirkan anak yang sah dan dapat menjadi warisan kepada kedua-dua pasangan suami isteri. Cintailah anak-anak dan sayangilah mereka kerana mereka adalah pewaris kepada keturunan dan dapat menegakkan agama, bangsa dan negara. Jauhi dosa bagi orang yang mensia-siakan tanggungjawabnya sebagai ayah ke atas anak dan keluarganya.


* Penulis ialah penyair. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi.

0 comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen. Saya amat menghargainya.

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Please note, Some writing and writer in this blog is the result of individual thought.The writers are free to write and give an opinion on an issue raised in accordance with the title of this blog (Seng Wani) which means "The Brave".Thank You and Best Regards