Pages


 

Thursday, October 4, 2012

Air Mata Seorang Manusia yang telah GAGAL..

0 comments

[ Di Olah dari kisah benar seorang yang kini bergelar Usahawan Berjaya ]


En Din (bukan nama sebenar) ,sejak kecil sudah bercita-cita mahu berniaga sendiri. Apabila wang simpanannya cukup RM40,000, iaitu selepas 3 tahun menjadi tukang masak disebuah restoran dan 5 tahun bekerja dengan sebuah cawangan syarikat katering dan pengurusan acara luar negara dalam jabatan khidmat lepas jualan, beliau mengambil keputusan berhenti kerja dan memulakan bisnes katering dan pengurusan acara.


Di tempat kerjanya beliau mendapat penghargaan daripada pengurusan syarikat dan pernah menerima bonus galakan atas mutu perkhidmatan yang diberikan kepada para pelanggan di bawah jagaannya. Enam bulan sebelum meletak jawatan beliau di lantik menjadi pengurus kanan dibahagian akaun pelanggan korporat yang bertanggungjawab menguruskan kontrak katering dan pengurusan acara melebihi 50 juta.


Sebelum menghantar surat perletakan jawatannya, beliau sudah mula pergi dari satu restoran ke restoran mencari restoran yang bersedia memberi potongan harga dan perkhidmatan terbaik apabila beliau membuat tempahan dari mereka. Dalam fasa pertama beliau berniaga,disebabkan modalnya kecil ,beliau cuma merancang mahu mendapatkan tempahan-tempahan kecil bagi pelanggan kecil dan syarikat-syarikat persendirian sahaja.


Beliau membelanjakan RM3000 bagi mendaftarkan syarikat sendirian berhad. Ini kerana bagi mendapatkan kontrak kerajaan ,beliau perlu mempunyai syarikat sendirian berhad.


Kemudian beliau membelanjakan RM8000 lagi bagi menyewa ruang pejabat kecil di Puchong dan membeli peralatan pejabat manakala RM2000 bagi alat-alatan katering tambahan. Beliau membayar RM3000 wang pendahuluan membeli sebuah van yang digunakannya bagi mengangkut peralatan katering dan lain-lain.


Kemudian beliau mengambil seorang kerani dengan gaji RM700 sebulan bagi menjaga pejabat dan seorang Pembantu Katering dari majikan lamanya dahulu dengan gaji RM1100 sebulan bagi melaksanakan kerja-kerja pengurusan katering. Beliau sendiri akan membuat kerja-kerja pemasaran.


Beliua membayar RM3000 bagi menaikkan papan iklan besar di luar pejabatnya. Beliau membelanjakan RM2000 bagi mencetak kad bisnes,kepala surat,sampul,inbois,resit dan brosur pekhidmatannya. Beliau membelanjakan RM7000 bagi membeli komputer dan memasang internet dirumah dan di pejabatnya. Kemudia beliau menbayar RM500 kepada orang yang di upah membuka lamanwebnya sendiri bagi mengiklankan perkhidmatannya.


Pada bulan pertama En Din memulakan bisnesnya ,beliau berjalan kaki dari rumah kerumah,dari sekolah ke sekolah, dari pejabat ke pejabat disekitar tempat tinggalnya bagi mengedarkan brosur perkhidmatannya. Dimana sahaja beliau ternampak peti surat, disitulah beliau memasukkan brosurnya di surau-surau dan dimasjid-masjid sekitar tempat tinggalnya.


Beliau kemudian membeli tiga keping kadbod,gergaji kecil,cat putih dan hitam,berus,tukul dan paku lalu menyuruh pembantunya supaya membuat papan iklan kecil yang hendak dipakukannya pada pokok-pokok ditepi jalan bagi dibaca oleh pemandu kereta yang lalu lalang. Pada papan iklan itu dituliskan "PERKHIDMATAN KATERING 019-38XXXXX"


Pada bulan kedua, beliau membayar RM1200 kepada tiga orang pengedar surat khabar supaya menyelitkan brosurnya kedalam surat khabar yang diedarkan dari rumah ke rumah.


Pada bulan ketiga,beliau pergi dari satu kilang ke satu kilang,dari satu jabatan kerajaan ke satu jabatan kerajaan,dari satu bangunan ke satu bangunan bagi memperkenalkan dirinya dan perkhidmatannya


Setiap hari beliau memeriksa laman webnya,tetapi tiada sebarang pesanan katering yang masuk. Telefon dipejabatnya juga tidak menerima pesanan katering. Ada beberapa panggilan,tetapi tiada satu pun yang berakhir dengan sebarang pesanan katering. Begitulah keadaan bisnesnya selama tiga bulan pertama.


Pada bulan keempat,tiga pesanan kecil mula masuk, iaiatu katering untuk jamuan hari jadi dan jamuan tahlil daripada rumah-rumah sekitar tempat tinggalnya, tetapi selama sembilan bulan pertama,beliau hanya menerima tidak sampai 20 pesanan.


Sepanjang tempoh sembilan bulan itu, beliau menggunakan duit simpanannya bagi perbelanjaan sewa pejabat,gaji dua orang pembantunya dan lain-lain keperluan. Pada bulan ke empat,keraninya berhenti kerja kerana bosan duduk di pejabat tanpa banyak kerja dan sudah mendapat tawaran kerja di tempat lain.


Pada bulan kelima pula, pembantu kateringnya pula berhenti atas alasan yang serupa. Dari satu segi ,beliau malu pada dirinya sendiri apabila ditinggalkan pekerjanya,tetapi dari satu segi yang lain ,beliau bersyukur kerana beliau tahu tidak mampu lagi hendak membayar gaji mereka.


Pada bulan ke enam, En Din mengeluarkan wang simpanan Tabung Hajinya bagi membayar sewa. Semasa menghampiri bulan ketujuh,beliau mengeluarkan wang simpanan bank yang dahulu di buka atas nama anak sulungnya,waktu itu jumlahnya hanya RM640. Terlintas juga dihatinya hendak mengeluarkan wang syiling dalam tabung, tetapi beliau malu kepada isterinya.Pada bulan itu juga, beliau menutup pejabatnya dan beroperasi dari rumahnya sahaja, cara itu lebih murah.

Masuk bulan kesembilan,beliau tidak mampu lagi membayar sewa rumah. Sewa rumah dan susu dua orang anaknya terpaksa bergantung pada gaji isterinya,seorang guru. Bagi menambah pendapatan, isterinya menawarkan tuisyen matematik dan sains waktu petang kepada anak-anak jirannya yang datang kerumahnya dengan yuran RM40 sebulan seorang.

Masuk bulan ke-11,isterinya terpaksa memujuk pembantu rumahnya supaya bersetuju dibayar separuh gaji sahaja buat sementara waktu dan selagi keadaan mendesak. Beliau berjanji ,apabila sudah mampu nanti beliau akan membayar lebih daripada jumlah gaji yang terhutang. Mujurlah bibi Indonesia itu baik dan memahami keadaannya.

Masuk bulan ke-12,wang dalam akuan banknya tinggal RM27. Masuk bulan ke-13, beliau sudah tidak dapat membayar duit ansuran keretanya. Selepas tiga bulan tertunggak, bagi mengelakkan keretanya ditarik,beliau terpaksa menebalkan muka berjumpa seorang kawannya dan minta kebenaran menyimpan keretanya dirumah kawannya itu. Beliau kemudian membeli motosikal terpakai menggunakan wang isterinya bagi menghantar dan mengambil isterinya ke stesen LRT tiap-tiap hari.

Bagi berjimat,isterinya membeli kain-kain lampin bagi anak keduanya bagi menggantikan kain lampin pakai buang. Kain kain lampin itu digunakan sehingga nipis dan koyak, baru di ganti dengan yang baru. Baju dalam dan seluar dalam yang sudah longgar getahnya tidak mampu ditukar dan terus dipakai oleh isterinya.

Seminggu sekali,pada hari Ahad ,selepas sembayang subuh,beliau dan isterinya naik motosikal pergi ke pasar borong membeli ikan selar,sardin dan pelalin sebagai lauk. Di dapur sudah lama tidak ada beras siam, yang ada beras murah. Tidak ada lagi botol sos cili,tomato,nescafe ataupun jus oren. Sekiranya ada tetamu berkunjung,hanya teh-o yang dihidangkan bibi. Milo bungkusan kecil dibeli semata-mata untuk anak sulungnya. Sabun basuh, ubat gigi dan syampu yang dibeli pun saiz kecil sahaja dan jenama paling murah,digunakan berdikit-dikit.

Talian telefon rumahnya sudah dipotong,maka tamatlah riwayat laman webnya. Kemudia telefon bimbitnya pula di potong dan tamatlah riwayat papan iklannnya di pokok-pokok.
Estimnya jatuh parah. Hendak keluar rumah pun beliau berasa malu. Berat badannya sudah banyak susut,begitu juga berat badan isterinya.

Hubungan intim dengan isterinya terjejas teruk. Beliau mula tidak berani bercakap apa-apa dengan isterinya disebabkan beliau tahu nasi yang disuapkan itu adalah pembelian isterinya. Apa yang disuruh isterinya,terus dibuatnya tanpa bercakap sepatah pun. Beliau takut tersalah cakap,khuatir isterinya akan menempelaknya.
Bagi menunjukkan beliau bertimbang rasa atas kesukaran dan kesusahan yang turut ditanggung isterinya,beliau melakukan kerja-kerja rumah seperti membuang sampah,menukar lampin anak dan mengemas katil. Mujurlah isterinya anak sulung dan berasal dari kampung yang susah dan mempunyai ramai adek beradik,jadi isterinya memang pandai hidup cara orang susah.

Perkara paling sukar dikendalikan adalah perasaannya apabila memandang kedua-dua orang anaknya yang masih kecil. Hatinya paling tertekan apabila beliau ternampak kain lampin anak keduanya basah.

Sepanjang masa itu ,apabila ada kenduri-kendara saudara mara dikampung mereka tidak mampu balik. Malah pada tahun itu ,beliau dan isterinya tidak mampu pulang berhari raya dikampung. Pada suatu masa ayah mertuanya di kedah di masukkan ke hospital,isterinya terpaksa meminjam duit dari rakan sekerjanya bagi belanja minyak dan tol.

Mereka memulakan perjalanan jam 2 pagi kerana hendak mengelak dari bertembung dengan JPJ ataupun Polis di sebabkan keretannya sudah tidak mempunyai cukai jalan dan insuran kemalangan.

bersambung...

0 comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Memberi Komen. Saya amat menghargainya.

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Please note, Some writing and writer in this blog is the result of individual thought.The writers are free to write and give an opinion on an issue raised in accordance with the title of this blog (Seng Wani) which means "The Brave".Thank You and Best Regards